Friday, December 9, 2022

Pemerolehan Bahasa Pertama Pada Awal Usia Anak Kecil

   Pemerolehan Bahasa Pertama Pada Awal Usia Anak Kecil

            Anak merupakan cahaya mata anugerah Tuhan Yang Maha Esa kepada pasangan suami isteri yang telah mendirikan rumah tangga. Anak kecil ini dapat memperoleh bahasa ibundanya melalui ibu bapa mereka. Pemerolehan bahasa pertama ini terjadi kepada kanak-kanak belum pernah belajar apa-apa bahasa pun, maka kanak-kanak ini akan mendengar bahasa buat kali pertamanya. Proses pemerolehan dan penguasaan bahasa kanak-kanak merupakan satu perkara yang rencam dan cukup menakjubkan bagi para penyelidik dalam bidang linguistik. Perkembangan bahasa atau komunikasi  pada anak-anak merupakan salah satu aspek dari tahap perkembangan anak yang sepatutnya tidak luput dari perhatian pada pendidik,pada umumnya dan orang tua pada khususnya.

            Pemerolehan bahasa pertama oleh anak-anak merupakan prestasi manusia yang paling hebat dan menakjubkan. Pemerolehan bahasa pertama telah ditelaah secara intensif sejak lama. Memang diakui bahawa sama ada disedari ataupun tidak, sistem-sistem linguistik dikuasai dengan pantas oleh individu kanak-kanak walaupun umumnya tiada pengajaran formal.”…leaning a first language is something every child does successfully, in a matter of a few years and without the need for formal lessons.”(Language Acquistion: on-line). Sungguhpun ransangan bahasa diterima oleh kanak-kanak tidak teratur dan terhad, namun mereka berupaya memahami sistem-sistem linguistik dalam pemerolehan bahasa pertama sebelum menjangkau usia lima tahun. Fenomena yang kelihatan amat menakjubkan ini telah berlaku dan akan terus berlaku dalam kalangan semua masyarakat dan budaya pada setiap masa dan pada setiap zaman.

Si Cilik Raja Muhammad Mikael Bin Raja Faizul Petah Berpantun.

        Ketika kanak-kanak berumur antara 1 hingga 5 tahun ia merupakan waktu penguasaan bahasa yang paling kritikal. Dalam jangka masa kritikal ini, kanak-kanak sangat mudah menerima pengaruh bahasa pertama atau yang dikenali sebagai bahasa ibunda yang didedahkan kepadanya, iaitu bahasa yang diamalkan atau yang didedahkan kepada anak-anak sejak dia dilahirkan. Sebagai contoh, bahasa Melayu merupakan bahasa pertama kepada orang-orang Melayu manakala bahasa Cina adalah bahasa pertama kepada orang-orang Cina dan sebagainya. Tegasnya, pemerolehan bahasa pertama ini akan dikuasai oleh individu secara semulajadi melalui proses pemerolehan bahasa. Dalam konteks ini, ada ahli bahasa yang berpandangan bahawa proses pemerolehan bahasa pertama ini berlaku sejak seseorang itu masih berada dalam kandungan ibunya. Hal ini bermakna bahawa bahasa pertama pada dasarnya dapat dikuasai oleh seseorang tanpa melalui proses pembelajaran secara formal.  

Kanak-Kanak Pelbagai Bahasa Ibunda Dari Keturunannya

Pemerolehan Bahasa Pertama Berlaku Sejak Dalam Kandungan Ibu


        Bayi mengunakan tubuh mereka dan menangis bagi berkomunikasi untuk memberi tahu keinginan, keperluan dan kecenderungannya. Walaupun sebahagian besar anak-anak mulai menyanyi dan akhirnya dengan kata-kata dalam pelbagai usia dan kelajuan yang berbeza, mereka belajar bahasa pertama  mereka tanpa sedar sejak mendengar perkataan dari orang tua atau pengasuh. Kajian turut menunjukkan bahawa pembelajaran awal bermula dalam alam rahim ketika janin dapat mengenali suara dan pola bicara dari suara ibunya. Seterusnya, kanak-kanak akan terus belajar bahasa pertama walaupun berada di alam persekolahan sama ada di sekolah rendah ataupun sekolah menengah. Namun dari segi keterampilan berbahasa, seseorang kanak-kanak yang telah didedahkan dengan bahasa pertamanya tidak mengalami banyak perubahan, umpamanya dalam kosa kata. Anak-anak ini akan terus belajar terus menerus sepanjang hayat. Justeru itu, pemerolehan bahasa pertama dianggap sebagai bahasa yang paling mantap dari segi pengetahuan dan penggunaannya. Dalam proses pemerolehan bahasa pertama, seseorang kanak-kanak itu akan belajar semua konsep yang diperlukan untuk berkomunikasi dengan ibu bapa, rakan-rakan dan ahli masyarakat disekelilingnya. Bahasa pertama menjadi salah satu alat untuk mengungkapkan perasaan, keinginan, pendirian dan sebagainya dalam bentuk-bentuk bahasa yang dianggap wajar.


Darwish Yang Berusia 4 Tahun Petah Bercakap Bersama Gurunya

            Seorang kanak-kanak yang normal sifat fizikalnya semenjak lahir telah mengeluarkan bunyi dari mulut mereka tetapi bunyi yang dikeluarkan dari mulut mereka tidak boleh dikatakan bunyi bahasa kerana bunyi-bunyi tersebut tidak mempunyai pola-pola tertentu yang dapat diserap ke dalam sanubari dan perasaan dengan tepat dan betul. Lagi pun perkataan atau butir bicaranya tidak mempunyai makna yang jelas bagi pendengaran orang lain. Selain itu, kanak-kanak ini dilahirkan dengan suci dan bersih, maka ibu bapalah mencorakkannya sama ada menjadikan anaknya itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi (Riwayat Bukhari dan Muslim). Sebagai contoh, kanak-kanak yang dilahirkan di Kutub Utara (Eskimo) boleh menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang sejuk. Kadang kala sehingga boleh mencecah sehingga -60 darjah Celsius. Begitu juga dengan kanak-kanak yang dilahirkan di Somalia yang lahir dalam iklim dan cuaca yang panas juga dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Begitulah juga dengan pemerolehan bahasa pertama ini. Seseorang kanak-kanak tidak perlu belajar secara formal bagi bahasa pertama tetapi cukup sekadar mendengar dan menyebut berulang kali. Apabila pengulangan dan penyebutan perkataan ini berlaku berulang-ulang kali maka anak-anak tersebut akan dapat menguasai bahasa pertama mereka. Persekitaran dan keluarga kanak-kanak tersebut memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan bahasa pertama kanak-kanak ini. Ibu bapa dan masyarakat di sekeliling mereka akan menjadi model yang ideal dan sempurna dalam pembentukan bahasa pertama kanak-kanak. Walaupun loghat yang diamalkan susah sebutannya tetapi tidak menjadi masalah kapada kanak-kanak tersebut.


Kanak-Kanak Bercakap Loghat Kedah
                
         Kesimpulannya, pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak adalah melibatkan proses kognitif dan pendedahan tentang sesuatu bahasa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Melalui proses kognitif ia akan melengkapkan kebolehan kanak-kanak mentafsirkan bunyi dan makna, manakala pendedahan bahasa yang cukup pula akan merangsang keyakinan dan motivasi kanak-kanak tersebut untuk berinteraksi dengan orang-orang dipersekitaran terutamanya ibu bapa dan keluarga terdekat. Pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak berlaku secara semula jadi dan beransur-ansur mengikut perkembangan mental, fizikal dan peringkat umur kanak-kanak.

Bibliografi 

Khazriyati Salehuddin. (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berdasarkan Bahasa. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.

Norul Haida Bt. Hj Reduzan. (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

Tay Meng Guat. Pemerolehan Bahasa Kanak-Kanak. Diperolehi pada 25.11.2022 daripada http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/jurnalpapers/jurnal2006/tay06.pdf






   

9 comments:

Pemerolehan Bahasa Pertama Pada Awal Usia Anak Kecil

     Pemerolehan Bahasa Pertama Pada Awal Usia Anak Kecil                 Anak merupakan cahaya mata anugerah Tuhan Yang Maha Esa kepada pas...