Friday, December 9, 2022

Pemerolehan Bahasa Pertama Pada Awal Usia Anak Kecil

   Pemerolehan Bahasa Pertama Pada Awal Usia Anak Kecil

            Anak merupakan cahaya mata anugerah Tuhan Yang Maha Esa kepada pasangan suami isteri yang telah mendirikan rumah tangga. Anak kecil ini dapat memperoleh bahasa ibundanya melalui ibu bapa mereka. Pemerolehan bahasa pertama ini terjadi kepada kanak-kanak belum pernah belajar apa-apa bahasa pun, maka kanak-kanak ini akan mendengar bahasa buat kali pertamanya. Proses pemerolehan dan penguasaan bahasa kanak-kanak merupakan satu perkara yang rencam dan cukup menakjubkan bagi para penyelidik dalam bidang linguistik. Perkembangan bahasa atau komunikasi  pada anak-anak merupakan salah satu aspek dari tahap perkembangan anak yang sepatutnya tidak luput dari perhatian pada pendidik,pada umumnya dan orang tua pada khususnya.

            Pemerolehan bahasa pertama oleh anak-anak merupakan prestasi manusia yang paling hebat dan menakjubkan. Pemerolehan bahasa pertama telah ditelaah secara intensif sejak lama. Memang diakui bahawa sama ada disedari ataupun tidak, sistem-sistem linguistik dikuasai dengan pantas oleh individu kanak-kanak walaupun umumnya tiada pengajaran formal.”…leaning a first language is something every child does successfully, in a matter of a few years and without the need for formal lessons.”(Language Acquistion: on-line). Sungguhpun ransangan bahasa diterima oleh kanak-kanak tidak teratur dan terhad, namun mereka berupaya memahami sistem-sistem linguistik dalam pemerolehan bahasa pertama sebelum menjangkau usia lima tahun. Fenomena yang kelihatan amat menakjubkan ini telah berlaku dan akan terus berlaku dalam kalangan semua masyarakat dan budaya pada setiap masa dan pada setiap zaman.

Si Cilik Raja Muhammad Mikael Bin Raja Faizul Petah Berpantun.

        Ketika kanak-kanak berumur antara 1 hingga 5 tahun ia merupakan waktu penguasaan bahasa yang paling kritikal. Dalam jangka masa kritikal ini, kanak-kanak sangat mudah menerima pengaruh bahasa pertama atau yang dikenali sebagai bahasa ibunda yang didedahkan kepadanya, iaitu bahasa yang diamalkan atau yang didedahkan kepada anak-anak sejak dia dilahirkan. Sebagai contoh, bahasa Melayu merupakan bahasa pertama kepada orang-orang Melayu manakala bahasa Cina adalah bahasa pertama kepada orang-orang Cina dan sebagainya. Tegasnya, pemerolehan bahasa pertama ini akan dikuasai oleh individu secara semulajadi melalui proses pemerolehan bahasa. Dalam konteks ini, ada ahli bahasa yang berpandangan bahawa proses pemerolehan bahasa pertama ini berlaku sejak seseorang itu masih berada dalam kandungan ibunya. Hal ini bermakna bahawa bahasa pertama pada dasarnya dapat dikuasai oleh seseorang tanpa melalui proses pembelajaran secara formal.  

Kanak-Kanak Pelbagai Bahasa Ibunda Dari Keturunannya

Pemerolehan Bahasa Pertama Berlaku Sejak Dalam Kandungan Ibu


        Bayi mengunakan tubuh mereka dan menangis bagi berkomunikasi untuk memberi tahu keinginan, keperluan dan kecenderungannya. Walaupun sebahagian besar anak-anak mulai menyanyi dan akhirnya dengan kata-kata dalam pelbagai usia dan kelajuan yang berbeza, mereka belajar bahasa pertama  mereka tanpa sedar sejak mendengar perkataan dari orang tua atau pengasuh. Kajian turut menunjukkan bahawa pembelajaran awal bermula dalam alam rahim ketika janin dapat mengenali suara dan pola bicara dari suara ibunya. Seterusnya, kanak-kanak akan terus belajar bahasa pertama walaupun berada di alam persekolahan sama ada di sekolah rendah ataupun sekolah menengah. Namun dari segi keterampilan berbahasa, seseorang kanak-kanak yang telah didedahkan dengan bahasa pertamanya tidak mengalami banyak perubahan, umpamanya dalam kosa kata. Anak-anak ini akan terus belajar terus menerus sepanjang hayat. Justeru itu, pemerolehan bahasa pertama dianggap sebagai bahasa yang paling mantap dari segi pengetahuan dan penggunaannya. Dalam proses pemerolehan bahasa pertama, seseorang kanak-kanak itu akan belajar semua konsep yang diperlukan untuk berkomunikasi dengan ibu bapa, rakan-rakan dan ahli masyarakat disekelilingnya. Bahasa pertama menjadi salah satu alat untuk mengungkapkan perasaan, keinginan, pendirian dan sebagainya dalam bentuk-bentuk bahasa yang dianggap wajar.


Darwish Yang Berusia 4 Tahun Petah Bercakap Bersama Gurunya

            Seorang kanak-kanak yang normal sifat fizikalnya semenjak lahir telah mengeluarkan bunyi dari mulut mereka tetapi bunyi yang dikeluarkan dari mulut mereka tidak boleh dikatakan bunyi bahasa kerana bunyi-bunyi tersebut tidak mempunyai pola-pola tertentu yang dapat diserap ke dalam sanubari dan perasaan dengan tepat dan betul. Lagi pun perkataan atau butir bicaranya tidak mempunyai makna yang jelas bagi pendengaran orang lain. Selain itu, kanak-kanak ini dilahirkan dengan suci dan bersih, maka ibu bapalah mencorakkannya sama ada menjadikan anaknya itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi (Riwayat Bukhari dan Muslim). Sebagai contoh, kanak-kanak yang dilahirkan di Kutub Utara (Eskimo) boleh menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang sejuk. Kadang kala sehingga boleh mencecah sehingga -60 darjah Celsius. Begitu juga dengan kanak-kanak yang dilahirkan di Somalia yang lahir dalam iklim dan cuaca yang panas juga dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Begitulah juga dengan pemerolehan bahasa pertama ini. Seseorang kanak-kanak tidak perlu belajar secara formal bagi bahasa pertama tetapi cukup sekadar mendengar dan menyebut berulang kali. Apabila pengulangan dan penyebutan perkataan ini berlaku berulang-ulang kali maka anak-anak tersebut akan dapat menguasai bahasa pertama mereka. Persekitaran dan keluarga kanak-kanak tersebut memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan bahasa pertama kanak-kanak ini. Ibu bapa dan masyarakat di sekeliling mereka akan menjadi model yang ideal dan sempurna dalam pembentukan bahasa pertama kanak-kanak. Walaupun loghat yang diamalkan susah sebutannya tetapi tidak menjadi masalah kapada kanak-kanak tersebut.


Kanak-Kanak Bercakap Loghat Kedah
                
         Kesimpulannya, pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak adalah melibatkan proses kognitif dan pendedahan tentang sesuatu bahasa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Melalui proses kognitif ia akan melengkapkan kebolehan kanak-kanak mentafsirkan bunyi dan makna, manakala pendedahan bahasa yang cukup pula akan merangsang keyakinan dan motivasi kanak-kanak tersebut untuk berinteraksi dengan orang-orang dipersekitaran terutamanya ibu bapa dan keluarga terdekat. Pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak berlaku secara semula jadi dan beransur-ansur mengikut perkembangan mental, fizikal dan peringkat umur kanak-kanak.

Bibliografi 

Khazriyati Salehuddin. (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berdasarkan Bahasa. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.

Norul Haida Bt. Hj Reduzan. (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

Tay Meng Guat. Pemerolehan Bahasa Kanak-Kanak. Diperolehi pada 25.11.2022 daripada http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/jurnalpapers/jurnal2006/tay06.pdf






   

  Perspektif Penting Bagi Memperolehi Bahasa Kedua


            Menurut Abdullah Hassan (1987), beliau menyatakan bahawa sesetengah individu mempelajari bahasa kedua kerana hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Dengan ini, setiap manusia perlulah mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda untuk memudahkan sebarang komunikasi. Sebagai contoh, seseorang yang baru tiba dalam masyarakat baru akan dianggap sebagai orang asing. Seseorang itu tidak akan berasa tersisah atau terasing jika dapat menguasai bahasa masyarakat tersebut. Secara umumnya, semua orang mengetahu bahawa penguasaan bahasa pertama adalah berlaku secara semula jadi sejak kanak-kanak masih kecil, manakala ia berbeza dengan penguasaan bahasa kedua kerana bagi memperoleh bahasa kedua ia mestilah dipelajari secara formal dan ia hanya akan berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) maksud bahasa kedua "adalah bahasa yang kedua dipelajari oleh seseorang itu di samping bahasa kandung yang dia peroleh. Bahasa kedua ini merupakan bahasa asing yang dipelajari untuk tujuan-tujuan tertentu." Penguasaan bahasa kedua ini amat penting kepada seseorang individu kerana bagi memudahkan seseorang individu dapat berkomunikasi dengan orang ramai dengan mudah.

Maksud Perkataan Bahasa Inggeris Dalam Bahasa Melayu

        Terdapat pelbagai cara bagi seseorang itu untuk memperolehi dan menguasai bahasa kedua. Pengajaran bahasa kedua ini sememangnya amat berbeza dengan penguasaan bahasa pertama. Pembelajaran yang bersifat formal, menekankan banyak latihan dan pengulangan hingga dapat membentuk suatu tabiat. Rivers W. M (1964) telah menyatakan bahawa pembelajaran bahasa asing pada asasnya adalah merupakan satu proses mekanikal yang dapat membentuk suatu tabiat. Cara penguasaan bahasa kedua ini adalah sama dengan proses pembentukan tabiat yang lain seperti belajar menaip, berenang, memandu kenderaan, dan sebagainya. Prinsip asas bagi pemerolehan bahasa kedua ini adalah dengan menetapkan jika sekali berjaya dilakukan dengan baik maka ia akan dapat diulangkan untuk seterusnya secara automatik. Proses penguasaan bahasa kedua pada peringkat awal kanak-kanak berkemungkinan sama dengan proses penguasaan bahasa pertama kerana jika kanak-kanak didedahkan kan dengan bahasa kedua pada peringkat kritikal mereka akan mudah untuk memperolehi bahasa kedua ini. Walaubagaimanapun, proses penguasaan bahasa kedua selepas peringkat awal kanak-kanak akan mengalami cara yang berbeza dengan proses pemerolehan pengetahuan bahasa yang pertama. Sebagai contoh, hal ini telah dinyatakan oleh Brown (1980):  "Adult,more cognitively secure, appear to operate from the solid foundation of the first language and thus manifest more interference." 

Dr Sheikh Muszaphar Didik Anak sejak usia kecil

            Seterusnya, terdapat pelbagai faktor untuk seseorang itu mempelajari dan memperoleh bahasa kedua. Antara faktor yang mendorong seseorang itu mempelajari bahasa kedua ialah tuntutan peluang pekerjaan. Pekerjaan yang profesional memerlukan seseorang menguasai penguasaan bahasa kedua iaitu seperti Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa misalnya pekerjaan seperti peguam, pensyarah, doktor, guru, jurutera dan sebagainya. Selain itu, faktor kedua ialah bahasa kedua merupakan bahasa majoriti dalam negara berkenaan. Contohnya, keluarga melayu yang berhijrah dan tinggal di negara India perlulah menguasai dan mengetahui bahasa mejoriti di sana seperti bahasa Tamil untuk memudahkan komunikasi. Seterusnya, tuntutan akademik atau sebagai bentuk latihan kognitif. Contohnya di Institusi Pengajian Tinggi Malaysi IPT meletakkan syarat penguasaan Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya dengan memperolehi Band 2 dalam peperiksaan Malaysia University English Test MUET dan hal ini menunjukkan Bahasa Inggeris merupakan subjek penting kepada pelajar untuk masuk ke IPT bagi melanjutkan pelajaran. Tambahan pula, Pertuturan dengan sesuatu kaum yang berlainan yang terpaksa mengunakan bahasa kedua. Misalnya di Malaysia, memiliki rakyat malaysia yang berbilang kaum seperti Melayu, Cina dan India dan walaupun Melayu merupakan kaum majoriti Malaysia namun terdapat juga kaum lain yang kurang fasih berbahasa Melayu. Maka, dalam konteks ini bahasa kedua memainkan peranan penting untuk memudahkan masyarakat yang berbilang bangsa ini untuk berkomunikasi untuk kefahaman masing-masing.

Carta Awan Kepentingan Menguasai Bahasa Asing (Bahasa Kedua)

        Bagi seseorang itu ingin mempelajari dan mengukuhkan penguasaan bahasa kedua turut dipengaruhi oleh pengaruh ibu bapa di rumah yang banyak mengunakan bahasa kedua dalam berkomunikasi. Ibu bapa yang mengamalkan pelbagai bahasa di rumah untuk pendedahan dan untuk tujuan mendidik secara tidak langsung dapat memupuk minat kanak-kanak untuk memahami bukan sahaja satu bahasa malah banyak bahasa. Melalui pendedahan ibu bapa sejak dari rumah ia dapat membantu kanak-kanak menguasai bahasa kedua dengan lebih mudah dan lebih releven. Ibu bapa  pada masa kini dapat dilihat sebagai ibu bapa dwibahasa kerana pada masa ini dapat dilihat ramai ibu bapa yang mula mendidik anak-anak mereka dengan pelbagai bahasa dalam berkomunikasi contohnya menerapkan dua pengunaan bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Hal ini jelaslah bahawa, didikan dalam memperolehi dan menguasai bahasa kedua merupakan peranan yang penting yang perlu dititik beratkan oleh ibu bapa untuk penguasaan bahasa anak-anak mereka. Oleh itu, dengan adanya penguasaan bahasa kedua ini ia memudahkan kanak-kanak untuk lebih berani berkomunikasi, meningkatkan keyakinan dan menjadi individu yang pakar berkomunikasi dalam setiap golongan masyarakat walaupun berbeza bangsa. Pemerolehan bahasa kedua bukan sahaja tertumpu kepada bahasa Inggeris namun banyak juga bahasa-bahasa lain yang boleh dipilih untuk seseorang kuasai. Di dunia ini terlalu banyak bahasa yang boleh dipilih untuk dipelajari dan dikuasi oleh seseorang. Menghadiri kuliah dan kelas bahasa asing juga merupakan suatu langkah terbaik untuk seseorang mempelajari bahasa kedua ini.

Si Cilik Anak Orang Melayu Petah Berbicara Bahasa Inggeris

        Kesimpulan, pemerolehan bahasa kedua merupakan perspektif yang sangat penting untuk dilihat bagi penguasaan komunikasi yang baik. Setiap lapisan masyarakat perlulah mempunyai kesedaran berkaitan kepentingan atau keperluan bahasa kedua ini. Pelbagai kaedah perlu diambil bagi pemerolehan bahasa kedua ini yang perlu diusahakan antaranya seperti melalui kaedah nahu terjemahan, kaedah terus, kaedah semula jadi, kaedah ajuk-hafaz, kaedah linguistik, kaedah gerak balas fizikal keseluruhan dan kaedah suggestopedia. Melalui kaedah-kaedah ini jika ia diterapkan dalam pengajaran bahasa kedua maka hasrat untuk mendidikan seseorang individu dapat menguasai bahasa kedua selain bahasa ibunda dapat direalisasikan.

Bibliografi: 

Norul Haida Bt. Hj Reduzan. (2013). Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

Hamdan Yusof. Bahasa kedua. Diperoleh pada 26.11.2022  daripada http://hamdanbyusoff.blogspot.com/2012/11/bahasa-kedua.html

Resty Fitriana. Psikolinguistik "Pemerolehan Bahasa Kedua".Diperolehi pada 26.11.2022 daripada http://restyanindita. blogspot.com/2015/05/ psikolinguistik-pemerolehan-bahasa-kedua.html

 Dunia Kanak-Kanak Istimewa Diskalkulia (Dysculculia)


        Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang membawa maksud 'kesukaran' dan lexis yang bermaksud 'bahasa'. Secara literalnya, disleksia bermaksud, 'kesukaran dalam berbahasa' (Ott dalam Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan, 2006). Kanak-kanak disleksia hanya mengalami gangguan dalam pembelajaran ketika peringkat kanak-kanak dan bukanya sejenis penyakit. Takrif yang dikemukakan oleh World Federation Of Neorology (1968) dalam Barbara Riddick telah digunakan secara meluas pada masa lalu dan telah membentuk satu platform baru bagi definisi yang lebih tepat lagi iaitu :

" Dyslexia is a disorder manifested by difficulty in learning to read despite conventional instruction, adequate intelligence and sociocultural opportunity. It is dependant upon fundamental cognitive disabilities which are frequently of constitutional origin."

        Bagi lebih jelas, World Federation Of Neorology (1968) mendefinisikan disleksia sebagai satu gangguan dalam diri kanak-kanak yang telah terima pendidikan biasa, tetapi tidak memperolehi kemahiran dalam bahasa, bacaan, menulis dan ejaan yang setaraf dengan intelek.

        Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendefinisikan murid yang mengalami masalah pembelajaran disleksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang selaras atau melebihi murid-murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran mengeja, membaca dan menulis. Menurut laman web Sribd , terdapat beberapa kategori disleksia mengikut kategorinya iaitu yang akan dibincangkan dan dijelaskan melalui blog ini adalah diskalkulia (dyscalculia). Diskalkulia (dyscalculia) ini bermaksud seseorang disleksia yang bermasalah dalam pengiraan.

Simbol Matematik
        Diskalkulia (dyscalculia) adalah merupakan kesan isu pembelajaran umum tentang keupayaan kanak-kanak dalam matematik. Ia bukan sahaja memberi kesan di sekolah malahan dapat memberi kesan juga dalam kehidupan seharian mereka. Diskalkulia (dyscalculia) ini turut diterangkan oleh 'Department for Education Skill' (DfES) sebagai suatu keadaan yang mempengaruhi keadaan menguasai atau memperolehi kemahiran dalam aritmetik. Oleh keran itu, kanak-kanak diskalkulia (dyscalculia) ini menghadapi dalam mempelajari fakta nombor dan cara mengunakan formula. Sebagai contoh, 3+2=5 tetapi mereka tidak dapat mentafsirkan bahawa 2+3=5 juga adalah sama. Walaupun sesetengah dari mereka ini dapat memberikan jawapan yang betul tetapi mereka tidak yakin dengan jawapan tersebut.

         Terdapat beberapa ciri yang dapat dilihat untuk mengenalpasti seseorang kanak-kanak itu mempunyai diskalkulia (dyscalculia) ini. Antara ciri yang dapat dilihat ialah seseorang itu menghadapi masalah dan kesukaran dalam mengenal nombor dan simbol-simbol asas dalam matematik. Selain itu sukar menentukan nombor yang besar dan nombor yang kecil. Contohnya, tidak dapat mengenalpasti nilai yang terbesar antara 53 dengan 35. Kanak-kanak diskalkulia (dyscalculia) juga akan mengira sifir 2 atau 5 dalam turunan menurun. Mereka juga lemah dalam pengiraan spontan. Sukar membaca peta atau jadual disebabkan kurang kesedaran tentang kedudukan, arah dan lain-lain.

Gangguan Belajar Kanak-Kanak Diskalkulia (Dyscalculia)
        Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan diskalkulia (dyscalculia) ini. Antara faktornya ialah faktor keturunan. Kajian menunjukkan bahawa sebahagian daripada perbezaan dalam skor matematik anak-anak berpunca daripada genetik. Mungkin terdapat di antara keluarga yang turut mengalami masalah diskalkulia (dyscalculia) ini. Kajian perubatan di Barat turut mendapati kanak-kanak penghidap diskalkulia (dyscalculia) mempunyai latar belakang keluarga yang turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan. Faktor seterusnya ialah berkaitan dengan pendedahan awal matematik. Ada sesetengah ibu bapa yang mendesak anak mereka untuk belajar matematik ketika masih kecil di mana mereka masih tidak sedia untuk menerima konsep matematik. Ini menyebabkan mereka menjadi terlalu bimbang jika tidak dapat menjawab soalan matematik yang ada da membuatkan mereka berasa fobia. Faktor ke-3  ialah faktor pengajaran di sekolah. Pelajar yang lemah khususnya, mereka tidak dapat menguasai  sesuatu kemahiran itu dengan sepenuhnya. Hal ini kerana guru perlu menghabiskan sukaran pelajaran mereka mengikut waktu yang telah ditetapkan dan menyebabkan guru terpaksa mengajar dengan lebih pantas dan laju. Bagi faktor pemakanan turut menyumbang kepada berlakunya masalah diskalkulia (dyscalculia) ini. Berdasarkan beberapa penyelidikan, kajian dan penemuan, terdapat beberapa unsur penyedap makanan, bahan awet dan pewarna makanan tiruan yang dikenal pasti menjadi penggangu otak jika diambil secara berlebihan dalam tempoh yang lama terutama kepada kanak-kanak yang mengalami proses pertumbuhan. Antara makanan yang menggangu otak ini antaranya seperti antioksidan, ragi, laktosa dan sebagainya.

Contoh Makanan Yang Menjejaskan Kesihatan Otak Dan Menjejaskan Tahap Kesihatan

        Terdapat pelbagai cara yang dapat diambil untuk mengajar dan menarik minat kanak-kanak diskakulia (dyscalculia) ini untuk belajar matematik. Antaranya ialah memberikan latih tubi dengan berulang-kali. Dengan cara ini kanak-kanak akan lebih mengingati nombor dan teknik-teknik pengiraan. Seterusnya, pengunaan bahasa yang mudah dan senang untuk difahami ketika menyampaikan ilmu matematik. Guru hendaklah mengunakan bahasa dan teknik penyampaian yang mudah untuk difahami oleh para pelajar. Di samping itu, para pendidik juga perlu memberi penghargaan dan pujian untuk mengelakkan kanak-kanak berasa cepat mengalah dan pemberian hadiah dan penghargaan ini dapat meningkatkan keyakinan dan minat kanak-kanak ini untuk belajar. Pendidik juga perlulah menggunakan kreativiti untuk mengajar kanak-kanak berkenaan matematik ini. Contohnya pengunaan kertas warna yang menarik boleh dijadikan bahan dalam mengajar matemaik kepada kanak-kanak. Guru juga boleh mengunakan alat bantu mengajar yang pelbagai dalam menarik minat pelajar untuk belajar. Contohnya, dengan mencipta permainan kotak misteri matematik untuk pelajar. Melalui permainan kotak misteri matematik ini, guru akan memainkan lagu dan kemudiannya lagu tersebut akan diberhentikan dan pelajar yang memenang kotak misteri matematik ini ketika lagu berhenti perlu menjawab soalam matematik. Dengan adanya permainan yang menarik ini kanak-kanak akan berasa seronok untuk belajar.
                         
Contoh Teknik Pengajaran Untuk Kanak-Kanak Diskalkulia (Dyscalculia)

        Kesimpulannya, sokongan keluarga amatlah penting kepada kanak-kanak diskalkulia (dyscalculia). Mereka ini amat memerlukan sokongan daripada anggota keluarga terutamanya ibu bapa. Sebagai ibu bapa yang prihatin dengan perkembangan anak-anak, ibu bapa perlulah sentiasa memantau dan memberi tunjuk ajar dalam membantu anak-anak mereka yang mempunyai masalah pembelajaran ini. Ibu bapa perlulah sentiasa memberi peluang dan ruang kepada anak-anak mereka untuk terlibat dengan aktiviti pengiraan ataupun perhitungan seperti dengan membawa anak-anak ini ke kedai untuk membeli barang dan sebagainya. Melalui pendedahaan dan kaedah ini ia secara tidak langsung dapat meningkatkan pengetahuan kanak-kanak dalam pengiraan matematik.

Bibliografi:

Khazriyati Salehuddin. (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berdasarkan Bahasa. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Nur Arzuah Abdul Rahman. Masalah Pembelajaran Spesifik. Diperolehi pada 28.11.2022 daripada https://news.amdi.usm.my/fullnews.php

Pemerolehan Bahasa Pertama Pada Awal Usia Anak Kecil

     Pemerolehan Bahasa Pertama Pada Awal Usia Anak Kecil                 Anak merupakan cahaya mata anugerah Tuhan Yang Maha Esa kepada pas...